top of page

Salam Maal Hijrah

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.

Sambutan Maal Hijrah yang diadakan pada setiap tahun ini bukan sekadar mengajak kita untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik tetapi juga untuk memantap dan memperkukuh ikatan ukhuwah sesama umat Islam. Ini kerana kejayaan Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat telah berjaya menyatupadukan dan mempersaudarakan seluruh umat Islam di Madinah sekaligus membentuk kesatuan ummah yang mantap dan kukuh, yang akhirnya berjaya menubuhkan sebuah negara Islam Madinah yang maju, aman dan makmur.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersatu dalam jemaah itu rahmat, dan perpecahan itu adalah kesengsaraan”.

Sehubungan itu, sambutan Maal Hijrah adalah kesemapatan terbaik untuk kita memantapkan lagi perpaduan dan penyatuan ummah, yang sememangnya amat relevan dengan kehendak dan tuntutan semasa. Oleh itu, kita seharusnya bertindak dari sekarang untuk kembali memperkukuhkan dan memantapkan silaturahim demi membentuk ukhuwah Islamiah yang lebih teguh.

Semoga Maal Hijrah 1435 Hijrah ini akan memperteguhkan tekad dan iltizam untuk menyemarakkan semangat Hijrah dan perubahan ke arah kebaikan dengan pengembelengan tenaga dan fikiran bersendikan akidah dan memperkukuhkan semangat ukhuwah. Semoga kesungguhan kita dalam menghayati dan meneladani hikmah di sebalik peristiwa Hijrah ini, akan menjadikan umat Islam lebihcemerlang dan diberkati oleh Allah SWT, di dunia dan di akhirat, Insya-Allah.

Selamat Menyambut Maal Hijrah.

Ikhlas Daripada,

Muhammad Amirul Shafiq Ahmad Zuperi.

Putrajaya , 22 Oktober 2014

Search By Tags
Featured Posts
Recent Posts
bottom of page